KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menjadi penggal terakhir buat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai ahli politik.

Muhyiddin berkata, sebaik penggal itu berakhir, beliau mengumumkan mahu bersara daripada gelanggang politik untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Justeru, bekas Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU-15 akan datang, sekiranya parti memutuskan beliau layak dipilih sebagai calon.

“Pada PRU-15, Insya Allah kalau parti benarkan, saya untuk bertanding. Nampak daripada tepukan tadi mengesahkan boleh bertanding, Insya Allah, badan sihat, dulu kena kanser.

“Doa semua sekali makbul Allah bagi saya kesihatan. Kalau nak tendang bola boleh tendang, tapi tak jauh. Kalau pukul golf untuk 200 meter sekali pukul boleh pergi maknanya itu masih (okey).

“Tapi tak apa, ini soal politik setakat itu sajalah. Mungkin penggal akhir (PRU15) lepas ini berehat dekat rumah, berehat dengan isteri, cucu seramai lapan orang, anak-anak saya. Saya fikir sudah sampai masa tapi kalau keadaan mendesak dan memerlukan nantilah Insya-Allah kita akan (fikirkan) perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama belia di sini petang ini.

Muhyiddin, 75, yang juga Pengerusi MPN, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Bagaimanapun, 17 bulan selepas itu iaitu pada 16 Ogos 2021, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Pada PRU-14, Muhyiddin bertanding di kerusi Parlimen Pagoh atas tiket PH dan menang dengan majoriti 6,927 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here