KOTA BHARU, 23 Ogos — Kes denggi di Kelantan berkurangan sembilan kes iaitu sejumlah 34 kes direkodkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-33 bermula 14 hingga 20 Ogos lepas berbanding 43 kes pada minggu sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata bagaimanapun kumulatif kes denggi di negeri itu hingga ME ke-33 tahun ini mencatatkan 513 kes berbanding 140 kes bagi tempoh sama tahun lepas, menunjukkan peningkatan 373 kes atau 252.21 peratus.

“Setakat ini, terdapat dua kes kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini manakala sifar kematian bagi tempoh sama tahun lepas. 

“Pada tahun ini juga terdapat 26 episod wabak denggi dilaporkan di Kelantan berbanding enam episod bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata pada masa ini terdapat lima wabak denggi aktif di Kelantan melibatkan kawasan di jajahan Kota Bharu iaitu Taman Sri Mahang di Ketereh, Pantai Sabak 2 di Sering, Cherang 2 di Panji dan Taman Kurnia Jaya 1 dan 2 di Kemumin.

“Hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 154,640 premis atau rumah kediaman pula mendapati sebanyak 5,667 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik. 

“JKNK juga telah mengeluarkan 1,087 kompaun yang dicadang dengan nilai RM543,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 iaitu jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum RM500 akan dikeluarkan (tidak dibenarkan untuk rayuan pengurangan),” katanya.

Beliau berkata setakat ini 109 notis di bawah Seksyen 8 APSPP telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here