ISKANDAR PUTERI, 29 Ogos — Seramai 1,188 anak Johor yang kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka akibat COVID-19 menerima bantuan menerusi inisiatif Anak Johor Prihatin sejak tahun lepas dengan peruntukan RM1.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Nurul Naqiah Fadzil berkata inisiatif di bawah insentif Bantuan Kasih Bangsa Johor itu melibatkan bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga mereka berusia 21 tahun serta bantuan tunai dan sokongan moral.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi YPKDT akan memastikan kebajikan, pendidikan dan kesihatan emosi mereka dipelihara selain sokongan moral melalui perkhidmatan kaunseling dan motivasi serta mewujudkan kumpulan sokongan.

“Peruntukan keseluruhan (Anak Johor Prihatin) adalah RM3 juta dan setakat ini 50 peratus iaitu RM1.5 juta telah dibelanjakan.

“Ini komitmen jangka panjang kerajaan negeri bagi membantu anak-anak ini kerana mereka kehilangan keluarga secara tiba-tiba, tidak boleh ziarah, sentuh dan cium. Jadi kerajaan bantu dan jadikan mereka anak angkat,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legoland Malaysia Resort di sini, hari ini.

Nurul Naqiah berkata setakat ini penerima bantuan termuda adalah bayi berusia dua bulan sehingga remaja berusia 18 tahun dan bantuan RM100 sebulan diberikan sehingga tamat persekolahan.

“Bagi yang berumur 21 tahun, jika mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kita bantu dengan bantuan RM2,000 setahun,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Mohamad Syazrul Haqimi Mohammad Tofiq ,17 dan adiknya, Mohamad Syahmi Danish ,14, yang kehilangan ibu bapa mereka akibat COVID-19 pada September tahun lepas, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas bantuan yang diberikan.

Mereka yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Yassin, Johor Bahru dan kini dijaga kakak sulung Syazliana Fatihah, 21, menerima bantuan RM100 sebulan serta perlindungan insurans.

Syazliana ketika ditemui turut memuji keprihatinan kerajaan negeri kerana mengambil berat nasib individu terutama kanak-kanak yang kehilangan ibu dan bapa akibat COVID-19, sekali gus meringankan beban mereka.

“Kami sekeluarga dijangkiti wabak tersebut, hanya ayah dan ibu dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Aminah.

“Ayah menghembuskan nafas terakhir pada 3 Sept dan ibu pula empat hari kemudian. Kami sedih dan rasa kehilangan, tetapi reda sebab sudah ketentuan Ilahi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here