KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kerjasama antara Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) dan Acestar Solution Sdn Bhd akan membuka peluang pekerjaan melibatkan 2,500 majikan di Malaysia serta luar negara dalam bidang kreatif dan multimedia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata YEPB juga telah membuka ruang kepada Acestar sebagai ‘Micro-Credential Partner Adobe’ untuk membolehkan pelajar kreatif dan multimedia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau, Negeri Sembilan memperoleh pengiktirafan antarabangsa ‘Adobe Badge’ bermula Oktober ini.

“Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk mengadakan kursus jangka pendek menerusi latihan kemahiran serta penempatan kerjaya dalam bidang kreatif dan multimedia.

“Ia termasuk pelajar lepasan diploma yang akan diberikan kursus selama seminggu atau dua minggu dan dianggarkan 5,000 pelajar akan mendapat manfaat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Acestar yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Natalie Sit dan YEPB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Aweena Mohd Arshad di Angkasapuri di sini hari ini.

Zahidi, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, berkata YEPB dan Acestar turut merancang mengadakan Adobe Certified Professional (ACP) Championship Malaysia 2023 bagi menggalakkan bakat kreatif tempatan dalam usaha menghasilkan karya kreatif mereka menerusi aplikasi pintar adobe.

Beliau berkata YEPB dan Acestar akan mula menerokai alam teknologi Web3 Non-fungible Token (NFT) dengan sumbangan boleh diberikan kepada pencipta kandungan kreatif tempatan menerusi transaksi jual beli menggunakan mata wang kripto.

YEPB ditubuhkan untuk menyokong pendidikan dan kebajikan sosial masyarakat khususnya pendidikan informal iaitu proses pendidikan pembelajaran sampingan yang berlangsung secara spontan dan tanpa struktur dengan pendidikan bukan formal yang disusun dan dilaksanakan di luar sistem pendidikan formal bagi menambah kemahiran demi kelangsungan kehidupan dalam jangka panjang.

Beberapa program latihan telah disediakan menerusi program latihan kemahiran dan penempatan kerjaya YEPB termasuk kolaborasi strategik bersama Telekom Malaysia, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here