PUTRAJAYA, 24 Okt — Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke-73 (WPRCM) di Manila, Filipina yang berlangsung dua hari bermula esok.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kehadiran Khairy ke mesyuarat itu juga sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kenyataan itu menyebut penyertaan Malaysia ke WPRCM ke-73 amat penting bagi memastikan isu-isu kesihatan negara dapat diketengahkan dan diambil perhatian supaya kepentingan Malaysia terjamin.

“Selain itu, sebagai Naib Pengerusi, Malaysia boleh menggunakan platform berkenaan untuk mengadakan konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli Lembaga Eksekutif WHO yang lain demi kepentingan bersama dalam sektor kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, WPRCM ke-73 akan membincangkan isu dan resolusi dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang berlangsung dari 22 hingga 30 Mei lepas, selain membincangkan cadangan agenda bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-152 yang akan diadakan pada Januari 2023. 

Antara perkara berbangkit yang bakal dibincangkan semasa WPRCM ke-73 termasuk penjagaan kesihatan primer, pasca-COVID-19, kesihatan mental, laporan kemajuan program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan.

Pada mesyuarat kali ini, Khairy dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi perbincangan mengenai Komunikasi untuk Kesihatan, seterusnya menjadi seorang daripada ahli panel bagi forum tersebut.

Beliau juga dijangka mengadakan beberapa siri mesyuarat dua hala dengan negara-negara berkepentingan bagi membincangkan isu strategik dua hala antaranya bersama Menteri Kesihatan New Zealand, Menteri Kesihatan Brunei dan Timbalan Menteri Kesihatan Global dan Kebajikan Jepun.

Kenyataan itu memaklumkan Khairy turut dijadual membuat kenyataan celahan ke atas laporan oleh Pengarah Rantau Pasifik Barat dan seterusnya memuktamadkan agenda perbincangan berhubung Komunikasi untuk Kesihatan serta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit.

Turut sama dalam delegasi Malaysia ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan KKM.

WHO Rantau Pasifik Barat terdiri daripada gabungan 37 negara maju dan sedang membangun seperti Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Brunei, Kemboja, China, Malaysia dan Filipina dengan sekretariat utama bagi rantau ini adalah Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat bertempat di Manila, Filipina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here