BERA, 30 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengundi di Parlimen Bera dapat memberi majoriti kemenangan yang lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO itu berkata pada PRU14, majoriti diperolehnya sekitar 2,300 dan kali ini beliau berharap majoriti dapat mencecah sehingga 10,000 undi.

“Sebab perhatian seluruh negara sekarang ini tertumpu kepada Bera. Bera ini kawasan perdana menteri,  kalau kita menang setakat 1,000 ke 2,000 maknanya teruk sangatlah. Selepas jadi perdana menteri, macam-macam kelebihan yang boleh dibawa ke Bera ini.

“Jadi kalau dulu kita dah undi BN, dah beri kemenangan, kali ini saya berharap kita dapat tambah lagi majoriti kita,” kata penyandang kerusi parlimen Bera itu semasa menyampaikan ucapan ringkas di program Moh Mengeteh di Kampung Sri Buntar, di sini, hari ini.

Pada program itu, perdana menteri turut mengumumkan kelulusan pembinaan dewan orang ramai untuk Kampung Sri Buntar, di sini.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri dua program di Parlimen Bera, iaitu program bersama pekebun kecil Bera dan himpunan bersama hampir 3,000 generasi muda Bera.

Bercakap kepada media kemudiannya, beliau menyifatkan ‘mood’ sambutan di semua program yang dihadirinya sangat baik, dan merupakan satu petanda baik sekiranya ia berterusan.

Merujuk kepada manifesto BN untuk PRU15, beliau berkata ia mungkin dilancarkan esok atau lusa.

Antara lain, Ismail Sabri berkata manifesto itu akan menggariskan berita baik untuk pengundi baharu dan golongan muda.

“Seperti tadi saya berjumpa kumpulan riders, lebih kurang 3,000 lebih riders dari Bera, mood yang sama, kalau inilah gelombangnya, saya percaya orang muda akan bersama BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here