PETALING JAYA, 10 Nov — Sesi ujian pergerakan ke atas 10 tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam semalam memberikan tanda positif untuk perkhidmatan tren itu kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pihaknya sedang menganalisa dan membuat penambahbaikan dengan menukar komponen peranti modem punca kuasa pada Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) pada perkhidmatan tren LRT laluan tersebut.

Beliau berkata dalam sesi ujian pergerakan itu didapati hanya sebuah tren terpaksa dikawal secara manual, namun selepas beberapa kali ujian itu dilakukan akhirnya ia berjalan lancar.

“Maka ia memberikan tanda positif untuk perkhidmatan tren LRT kembali beroperasi semula dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kami tetap menanti ketibaan pakar dari luar negara untuk bersama membantu dalam menangani isu berkenaan,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini tren LRT di Kompleks Rapid Rail Subang, di sini, hari ini.

Mohd Azharuddin berkata pihaknya akan membuat lebih banyak ujian sebelum LRT laluan Kelana Jaya dapat digunakan kembali seperti yang ditetapkan.

“Mengenai kerja-kerja baik pulih sistem yang dijalankan, pihak Rapid Rail telah menjalankan ujian pergerakan tren LRT Laluan Kelana Jaya di antara Stesen Ampang Park dan Stesen KLCC.

“Ujian berkenaan penting bagi pihak kejuruteraan Rapid Rail bersama pihak OEM untuk menganalisa log yang dijana ketika ujian dijalankan, bagi mengenai pasti kebarangkalian punca bagi analisa selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata pakar dari luar negara iaitu Thales Group Kanada akan menyertai pasukan jurutera Rapid Rail petang ini bagi menganalisa log yang dijana seterusnya mengenal pasti komponen yang disyaki memberi masalah kepada sistem ATC.

“Kami berharap dengan bantuan daripada pakar dan jurutera Thales ini dapat mempercepatkan proses baik pulih sistem ATC,” katanya.

“Selain itu, staf kami juga telah membuat tinjauan sendiri di beberapa stesen pada pagi ini untuk memantau keadaan. Setakat ini, keadaan adalah terkawal dan dengan pertambahan perkhidmatan bas perantara, purata masa menunggu bagi perkhidmatan bas perantara adalah lima minit,” katanya.

Selasa lepas, operator LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin.

Perkhidmatan LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 6 pagi pada Selasa selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Susulan itu, Rapid Bus menambah 20 bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas berikutan penutupan 16 stesen tren LRT antara Kelana Jaya dan Ampang Park, bermula semalam.

Kerajaan, menerusi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, semalam memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here