KUALA LUMPUR, 20 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kembali merampas kerusi berkenaan selepas meraih 25,042 undi dengan majoriti 4,632 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa Firdzaus Said di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, pada 12.10 pagi tadi.

Johari menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan pengundi Titiwangsa, sekali gus akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik buat penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Titiwangsa khususnya pengundi. Saya merasa bahawa segala penat lelah bekerja berbaloi, walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat pada PRU14 yang lalu.

“Saya sentiasa bersama rakyat selama empat tahun enam bulan, akhirnya mereka menghargainya. Jadi, ini hadiah bagi saya kepada rakyat Titiwangsa kerana sekali lagi beri kepercayaan kepada saya untuk lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita sejurus selepas pengumuman kemenangan beliau di kerusi Parlimen berkenaan.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan bekas Menteri Kewangan Kedua itu menewaskan pencabarnya, Khalid Abdul Samad yang mewakili Pakatan Harapan (PH) apabila sekadar meraih 20,410 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN) Dr Rosni Adam (14,518) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) hanya meraih 888 undi.

Seramai 60,858 daripada 80,747 pengundi Titiwangsa keluar mengundi iaitu sebanyak 76.40 peratus manakala 512 undi rosak.

Pada PRU13, Johari pernah memenangi kerusi Titiwangsa, namun tsunami politik ketika PRU14 menyaksikan beliau tewas kepada calon PH, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,139 undi dan memperoleh 23,840 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here