KUALA LUMPUR, 20 Nov — Kalangan pemimpin politik perlu bertindak pantas, bijak serta berstrategi untuk mendapatkan kerjasama parti-parti bagi menyegerakan pembentukan kerajaan baharu, kata penganalisis.

Ini penting bagi mengelak kemelut berlarutan dalam bentuk Parlimen tergantung biarpun rakyat sudah memberi mandat menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata pemimpin politik perlu mencari jalan dalam mengenal pasti ruang kerjasama bagi menubuhkan kerajaan dengan seberapa segera.

Malah katanya pelantikan Perdana Menteri tidak wajar tertangguh dalam tempoh yang lama dan sebarang bentuk rundingan wajar dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam bagi pembentukan kerajaan.

“Walaupun setiap gabungan mempunyai pandangan berbeza, mereka sebaliknya perlu bersikap terbuka dan mengutamakan kepentingan negara serta rakyat sebagai pegangan bagi menjayakan penubuhan kerajaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 5 pagi ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa tiada mana-mana parti politik yang memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan dan seterusnya mewujudkan keadaan Parlimen tergantung — pertama kali sejak PRU diadakan pada 1959 iaitu selepas kemerdekaan.

Menjelas lanjut, Muhammad Fathi berkata bagi mewujudkan pentadbiran sah yang diterajui oleh Perdana Menteri dengan sokongan majoriti, kerajaan campuran adalah antara pilihan untuk gabungan-gabungan parti politik.

Beliau berkata walaupun gabungan utama di Semenanjung seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu menggerakkan usaha itu namun kepentingan kerjasama daripada gabungan parti di Sabah serta Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh diabaikan.

Ditanya sama ada penyertaan mana-mana parti dalam sesuatu gabungan boleh dianggap sebagai bercanggah dengan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, beliau berkata perkara itu adalah sebaliknya. 

Rundingan dan kerjasama antara gabungan politik tidak termasuk dalam definisi lompat parti yang berlaku apabila seorang Ahli Dewan Rakyat keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli atas sebab-sebab ditetapkan oleh peraturan parti.

“Sebelum ini, rundingan penubuhan kerajaan bukan sahaja melibatkan komunikasi antara satu parti dengan parti lain tetapi melibatkan pujukan dan rundingan dengan wakil rakyat secara individu namun selepas berkuat kuasa pindaan Perlembagaan berkaitan lompat parti, peluang untuk berlaku perubahan sokongan secara individu telah tertutup,” katanya.

Penganalisis Pilihan Raya Dr G Manimaran pula berkata pembentukan kerajaan baharu perlu disegerakan supaya urusan pentadbiran negara dapat disambung semula termasuk pembentangan Bajet 2023.

Tidak menolak keadaan kali ini sebagai agak sukar, Manimaran berkata parti-parti politik boleh mempertimbang untuk membentuk kerajaan gabungan atau gabungan ‘plus’ iaitu melibatkan gabungan baharu. 

PRU15 semalam menyaksikan BN mencatat prestasi kurang memberangsangkan apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya PH yang mendapat 82 kerusi manakala PN meraih 73 kerusi Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan yang memperoleh jumlah kerusi yang banyak pada PRU15 memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima maklum bahawa pada PRU15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here