KUALA LUMPUR, 26 Nov — Pemilik akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang ditahan polis kerana disyaki memuat naik video berunsur perkauman di media sosial pada Khamis lepas, dibebaskan dengan jaminan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata ia susulan tempoh reman ke atas lelaki tersebut tamat pada hari ini.

“Seterusnya, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, akan merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara menurut peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, setelah siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana memuat naik video yang menjurus kepada unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di aplikasi TikTok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here