KUALA LUMPUR, 16 Dis — Komitmen bulanan bukan penghalang kepada umat Islam untuk menunaikan ibadah zakat yang merupakan satu daripada kewajipan dalam Rukun Islam yang perlu dilaksanakan mengikut kiraan tertentu.

Pengurus Kanan Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Ahmad Husni Abd Rahman berkata komitmen bulanan dan harian perlu dibezakan antara keperluan serta kehendak kerana perkara itu sering kali berubah mengikut jumlah pendapatan yang diperoleh seseorang individu.

“Sebab itulah perlu buat pengiraan terlebih dahulu, kita semak, kira dan taksir kemudian baru tahu kemampuan yang mana untuk menunaikan zakat. Kira sama ada layak atau tidak layak (keluarkan zakat) baru boleh mengimbangi (sama ada keperluan atau kehendak).

“Kalau kita berbelanja mengikut kemahuan memang akan ada banyak komitmen yang perlu dilunaskan dan kadang-kadang tidak semua pun perbelanjaan itu merupakan keperluan sebab itulah zakat ini kita perlu kira terlebih dahulu dan asingkan,” katanya dalam sesi temu bual yang bertajuk ‘Akibat Menunaikan Zakat’ melalui Google Meet.

Ahmad Husni berkata pengiraan zakat pula adalah berbeza mengikut keperluan di sesuatu kawasan, contohnya keperluan dan komitmen di Kuala Lumpur tinggi secara relatif berbanding keperluan di tempat lain.

“Sebab itu pihak kami menasihatkan supaya bayaran zakat ini dibuat bukan ikut suka tapi kira dahulu dan berbincang dengan pihak yang berautoriti kerana ada beberapa pertimbangan yang diberikan kepada pembayar untuk menunaikan zakat bagi mengetahui hakikat dan keadaan sebenar mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Lapan asnaf atau golongan yang berhak menerima zakat ialah fakir, miskin, amil, mualaf, Al-Riqab, Al-Gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Mengulas mengenai tindakan beberapa individu yang terus menunaikan zakat kepada lapan golongan penerima zakat, Ahmad Husni berkata ia adalah secara relatifnya tidak menepati kaedah terbaik dalam menunaikan ibadah zakat.

Menurut beliau berdasarkan pandangan daripada Kitab Kifayatul Akhyar jika pihak berkuasa mewujudkan satu mekanisme kutipan terdapat pandangan yang mengatakan zakat tidak boleh diberi sendiri kepada penerima kerana melanggar arahan atau sistem yang dibuat pemerintah.

“Kedua dalam Mazhab Syafie dikhuatiri berlaku kesalahan pemberian zakat kerana bukan semua orang dapat dinilai secara tepat dan sekiranya salah amalan zakat itu adalah tidak sah dan perlu dilaksanakan semula,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Husni secara peribadi berpandangan adalah dibenarkan untuk memberi zakat kepada asnaf secara langsung terutama kepada ahli keluarga dan kerabat sendiri yang termasuk dalam kategori asnaf.

Walaupun begitu pihak PPZ-MAIWP menawarkan Skim Wakalah untuk membantu para pembayar  mengagih semula zakat kepada asnaf dengan kaedah lebih sistematik, katanya. 

“Ada kebaikan yang lebih besar sekiranya pembayaran zakat itu dibuat di pusat-pusat zakat kerana manfaatnya boleh dirasai lebih ramai.

“Sekiranya membayar zakat di PPZ-MAIWP kami ada Skim Wakalah iaitu sejumlah wang diberikan semula kepada pembayar untuk mengagihkan sendiri tapi ada sistem dan peraturan,” katanya.

Katanya Wakalah adalah dasar pengembalian wang zakat oleh MAIWP kepada entiti yang membayar zakat kepada PPZ-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak dan sekiranya tidak mencukupi syarat maka dinasihatkan agar tidak memberi lebih daripada 1/3 jumlah zakat tersebut.

Pada 26 Nov lepas, PPZ-MAIWP telah melancarkan kempen Year End Zakat 2022 (YEZ) bertujuan menggalakkan orang ramai menyegerakan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya pada 31 Dis ini, bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan dan menikmati lebih 500 hadiah menarik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here