ALOR SETAR, 20 Dis — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggiatkan usaha mencari seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Selat Bagan Nyior dekat Langkawi, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata mangsa yang dikenali sebagai Zaizali Harun, 61, telah keluar untuk menangkap ikan menaiki bot dari Kuala Sanglang, Perlis pada 4.30 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan sebaik menerima maklumat daripada anak lelaki mangsa bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut dan dipercayai bot yang dinaikinya mengalami kerosakan.

“SAR turut dibantu Pasukan Polis Marin dan beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca dan memastikan bot dalam keadaan baik.

“Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here