PUTRAJAYA, 9 Jan — Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) beriltizam untuk tidak menyusahkan rakyat dengan dasar, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang membebankan, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata ia antara misi utama kementerian itu tahun ini dalam memberikan perkhidmatan asas terbaik kepada rakyat, selain misi menyediakan jalan raya rata, lampu jalan yang terang dan tandas serta longkang yang bersih. 

“Sebagai contoh ada di sesetengah kawasan, mesin pembayaran tempat letak kereta ditempatkan atas lot parkir itu sendiri dan menyusahkan untuk parkir kenderaan.

“Saya juga difahamkan ada pihak berkuasa tempatan yang mengenakan kadar fi tidak munasabah bagi pembaharuan lesen anjing,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPKT 2023 yang diadakan secara hibrid di sini hari ini.

Nga berkata perkara sebegini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun ia mampu membangkitkan kemarahan rakyat sekiranya penyampaian perkhidmatan tidak dilaksanakan dengan baik.

Nga berkata KPKT akan mengambil langkah penjimatan dari segi penganjuran majlis besar-besaran dan mengelakkan keraian mewah, meminimumkan penggunaan kertas dan elektrik serta merancang sebarang projek secara teliti bagi memastikan unjuran kewangan lebih tepat.

Pada majlis berkenaan, Nga menyampaikan sijil penghargaan tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor kepada Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Datuk Nor Hisham Mohamad bagi mewakili 537 anggota bomba dan Unit Anjing Pengesan (K9) serta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor) yang diterima oleh Timbalan Pengarahnya Wan Md Razali Wan Ismail.

Beliau turut menyempurnakan pemakaian pingat ‘Golden Performance’ kepada empat anjing Unit K9 iaitu Blake, Lady, Grouse dan Pop, yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi itu.

Tragedi kira-kira 2.30 pagi 16 Dis lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here