KUALA LUMPUR, 11 Jan — Kerajaan akan memberi sokongan sewajarnya untuk membentuk dasar bagi menggalakkan perkembangan ekosistem peralihan tenaga negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun peralihan tenaga amat penting untuk negara, namun ia harus inklusif tanpa ada pihak tercicir serta tidak membebankan rakyat terutama golongan B40.

Sehubungan itu, kementerian berharap usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dapat mengalakkan penggunaan tenaga yang lebih efisyen serta mampu untuk semua rakyat Malaysia.

“Selain mengurangkan kos sara hidup, ia juga sepatutnya melindungi golongan rentan yang seringkali menjadi mangsa perubahan iklim.

“Pada hari ini misalnya, antara kos besar penjanaan elektrik adalah disebabkan oleh kenaikan harga bahan api arang batu dan gas,” katanya ketika berucap dalam lawatan kerja ke ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Selasa.

Nik Nazmi turut menekankan mengenai kepentingan pelaburan pembangunan infrastruktur elektrik demi komitmen TNB sebagai peneraju peralihan tenaga negara dengan memperkasa Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan melaksanakan Pelan Peralihan Tenaga.

Malah, katanya, menyedari kepentingan pelaburan untuk pembangunan infrastruktur elektrik, kerajaan telah meluluskan perbelanjaan modal sebanyak RM20.6 billion bagi tempoh kawal selia ketiga.

Beliau turut memuji usaha TNB dalam mengurangkan kebergantungan terhadap sumber penjanaan konvensional atau fosil melalui penerokaan dan penggunaan tenaga solar, hidro serta teknologi penjanaan berasaskan hidrogen dan ammonia bagi mengurangkan pelepasan karbon.

“Ini adalah langkah permulaan yang baik bagi menangani isu perubahan iklim dan mencapai ekonomi kitaran pelepasan sifar bersih.

“Kementerian turut menyedari bahawa sebahagian besar keuntungan TNB digunakan untuk membangunkan aset-aset utama syarikat bagi mengukuhkan lagi sistem perbekalan elektrik negara demi kesejahteraan rakyat amnya,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata sebagai syarikat yang peka dengan isu perubahan iklim, TNB mengambil langkah berani dan mengumumkan aspirasi Hala Tuju Kelestarian 2050 serta komitmen dalam menerajui perjalanan peralihan tenaga Malaysia.

“Selain sasaran pelepasan sifar bersih karbon daripada sektor penjanaan, langkah-langkah mempercepat pacuan peralihan tenaga termasuk meluaskan pasaran TBB, memperkasa grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektrik.

“Ini menyumbang kepada kesejahteraan alam dalam menangani perubahan iklim. Ia juga adalah transformasi penjanaan elektrik dan pacuan sektor pertumbuhan baharu berkaitan peralihan tenaga termasuk mobiliti rendah karbon, penyimpanan tenaga serta tenaga baharu seperti hidrogen,” katanya.

Dalam menuju pelepasan karbon sifar bersih 2050, TNB juga komited mencapai sasaran penjanaan 8,300MW TBB pada 2025 dan diikuti dengan pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus kapasiti penjanaan arang batunya menjelang 2035, kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here