BATU KAWAN, 13 Jan — Sebuah pasar awam dan penjaja bernilai RM68.7 juta akan dibina di Bandar Cassia di sini, dalam usaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan di kawasan itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pasar awam dan kompleks penjaja yang pertama di Batu Kawan itu akan dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan dibangunkan di atas tanah milik PDC seluas 3 hektar yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

“Pasar awam itu dibina di lokasi yang cukup strategik iaitu berdekatan dengan beberapa kawasan perumahan dan hanya sejauh 3 kilometer (km) dari Jeti Batu Musang dan fasa pertama melibatkan kerja tanah serta rawatan tanah yang bermula 7 Nov 2022 telah siap 6 Jan lepas.

“Fasa kedua pula menyusul dengan pembinaan bangunan dan infrastruktur bermula pada suku pertama 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2025, kerajaan negeri berharap agar kerja-kerja pembinaan projek itu berjalan lancar serta disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Projek Pembinaan Pasar Awam di Bandar Cassia di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar.

Chow berkata kerajaan negeri yakin dengan siapnya projek itu dapat memberi nilai tambah di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS)  sekali gus membolehkan rakyat menjana peluang pendapatan serta menikmati kehidupan yang lebih baik.

Katanya, projek itu merangkumi beberapa komponen utama antaranya sebuah pasar awam yang mempunyai 82 lot penjaja, sebuah kompleks makanan yang boleh menempatkan 32 unit gerai, 20 unit gerai tertutup, 78 petak ruang penjaja terbuka dan kemudahan lain.

“Projek itu akan membawa manfaat kepada penduduk di sekitar Bandar Cassia dan Batu Kawan, malah ia juga sekali gus menyelesaikan masalah peniaga tepi jalan yang semakin bertambah serta tidak teratur, selepas siap pasar ini mereka (peniaga tepi jalan) akan dipindahkan ke sini dan berniaga dengan selesa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata di sebelah tapak pasar itu sebuah masjid bandar raya akan dibina dengan pelaksanaan fasa pertama untuk kerja-kerja tanah sedang dijalankan bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

“Kerajaan negeri memutuskan melaksanakan pembinaan masjid di Bandar Cassia itu selepas beberapa surau di kawasan berkenaan sudah tidak dapat menampung bilangan jemaah di situ yang semakin bertambah sekarang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here