BEIJING, 31 Jan — Sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina (TBC) yang baru berakhir, penggunaan Renminbi (RMB) digital meningkat dengan ketara termasuk dalam perkhidmatan pembayaran di restoran, pembelian bunga dan tiket wayang.

Shenzhen, iaitu antara bandar pertama yang menjalankan ujian penggunaan wang digital mengedarkan angpau bernilai 100 juta yuan pada tempoh TBC dan Chap Goh Mei yang dikategorikan dengan 28 yuan, 68 yuan, 168 yuan dan 666 yuan.

Serentak itu, di kawasan untuk projek perintis penggunaan wang digital lain termasuk Tianjin, Wenzhou dan Jinan turut melancarkan pengedaran RMB digital dalam bentuk bon penggunaan.

Menurut statistik awal, jumlah wang digital yang ditawarkan dalam aktiviti di semua kawasan projek perintis melebihi 180 juta yuan sekali gus merangsang lebih banyak penggunaan dalam tempoh cuti TBC.

Penyelidik Institut Kewangan Universiti Fudan, Dong Ximiao menjelaskan bahawa e-CNY adalah matawang yang berbentuk digital dan juga alat pembayaran elektronik yang selamat.

“Seiring dengan kawasan projek perintis diperluaskan dan senario penggunaan terus bertambah, e-CNY makin menjadi pilihan penting dalam pembayaran harian di China,” jelasnya.

Setakat ini, Bank Rakyat China sudah menjalankan ujian penggunaan wang digital di 17 buah provinsi dan hampir 30 kali aktiviti pengedaran angpau wang digital yang bertemakan “merangsang penggunan” dan “perjalanan dengan karbon rendah” telah dilancarkan pada tahun 2022.

Menurut Bank Rakyat China, pihaknya akan menjalankan inovasi terhadap penggunaan e-CNY supaya sistem e-CNY saling dihubungkan dengan alat pembayaran elektronik konvensional agar para pengguna boleh mengimbas kod QR sama seperti alat pembayaran lain sambil menjimatkan kos peniaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here