JAKARTA, 12 Feb – Duta baharu Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dijangka tiba dan memulakan tugas rasminya di sini hujung bulan Feb atau awal Mac, menurut seorang pegawai.

Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq berkata Syed Md Hasrin sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa negara termasuk Indonesia sebagai timbalan ketua misi dari 2010 hingga 2013.

Jawatan terakhir beliau ialah wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

“Kita akan maklumkan kehadiran beliau di Jakarta ke Kementerian Luar Negeri Indonesia supaya satu tarikh ditetapkan bagi penyerahan watikah pelantikan kepada Presiden Joko Widodo,” kata Adlan.

Diplomat itu ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, yang dihoskan oleh Malaysia Chambers Jakarta (MCJ) pada Sabtu.

Sejurus tiba di Jakarta, Syed Md Hasrin akan diberi taklimat oleh 11 agensi kerajaan mengenai aktiviti serta fokus substantif yang dijalankan di sini, kata Adlan.

Perkara yang akan diberi perhatian ialah tenaga kerja, pengukuhan kerjasama kedua negara dalam bidang kelapa sawit dan isu tertunggak membabitkan persempadanan maritim serta lain-lain.

Syed Md Hasrin menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 9 Feb. Ditanya mengenai pelantikan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta susulan kekosongan jawatan berkenaan sejak hampir setahun, beliau berkata perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Nama telah diperoleh dan seorang ‘career diplomat’ akan diberi tauliah oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada masa terdekat,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Adlan berkata “kita memulakan tahun 2023 dengan sangat baik,” dan menyatakan penghargaan kepada MCJ kerana menganjurkan makan malam diaspora serta menyertai pertemuan dengan menteri-menteri yang mengadakan lawatan sejak Januari.

“Kami menerima lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini dan kemudian lawatan Menteri Luar diikuti dengan lawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here