GAZIANTEP, 14 Feb – Pasukan penyelamat berjaya menarik keluar seorang bayi berusia tujuh bulan, seorang gadis 13 tahun dan seorang lelaki 27 tahun dari runtuhan, selepas lebih 140 jam gempa bumi memusnahkan bahagian selatan Turkiye serta Syria.

Setakat ini, gempa bumi Isnin lalu yang berukuran magnitud 7.9 pada skala Richter, mengorbankan 29,695 mangsa di Turkiye dan meragut lebih 3,500 nyawa di Syria.

Puluhan ribu anggota penyelamat masih memenuhi kawasan kejiranan yang runtuh pada lewat Sabtu, biarpun cuaca sejuk menambahkan lagi kesengsaraan jutaan mangsa yang kini sangat memerlukan bantuan.

Di tengah-tengah kemusnahan dan rasa putus asa untuk pencarian, kisah ajaib mengenai kelangsungan hidup terus muncul.

Hamza, bayi berusia tujuh bulan, tersepit dan tidak bergerak semasa ditemui penyelamat dan disyaki maut pada awalnya apabila penyelamat memasuki bahagian bawah runtuhan sebuah penempatan di selatan Hatay.

“Adakah kamu melihat bayi itu?,” tanya seorang anggota penyelamat kepada rakan setugasnya.

Rakannya kemudian menjawab: “Bayi itu seperti tidak bernyawa, tapi biar saya periksa,” menurut satu rakaman video dramatik ketika operasi menyelamat yang disiarkan penyiar tempatan, TRT Haber.

Bagaimanapun, beberapa saat kemudian bayi itu berjaya ditarik keluar dari serpihan bangunan yang runtuh dan didapati masih bernyawa, biarpun terperangkap lebih 140 jam selepas gempa berlaku.

Anggota penyelamat juga bersorak dan melaungkan, ‘Allah Maha Besar!’ ketika Muhammed, 27 tahun ditarik keluar masih hidup dari runtuhan bangunan di wilayah selatan Kahramanmaras, iaitu pusat gegaran kuat gempa Isnin lalu.

Lelaki itu juga diselamatkan selepas 140 jam gempa berlaku dan ketika diselamatkan, dia sedang membaca ayat al-Quran, menurut rakaman video TRT Haber.

Di wilayah Gaziantep yang turut terjejas teruk, penyelamat memberitahu Esma Sultan, 13, bahawa dia adalah satu keajaiban, ketika mereka menariknya keluar dari sisa runtuhan bangunan selepas 140 jam terperangkap.

“Apakah dunia masih wujud?,” tanya Menekse Tabak, warga emas berusia 70 tahun ketika dia berjaya ditarik keluar dari runtuhan konkrit di bandar selatan Kahramanmaras, yang kemudian menangis memuji kebesaran Tuhan, menurut satu lagi video dikongsi TRT Haber.

Sementara itu, di bandar Antakya, seorang bayi berusia dua bulan ditemui hidup selepas 128 jam terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan susulan gempa itu.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, seorang wanita hamil enam bulan dan seorang kanak-kanak berusia empat tahun serta bapanya adalah antara yang diselamatkan.

Adegan menyelamat dramatik itu disiarkan di televisyen Turki, TV HaberTurk, termasuk kisah membabitkan keluarga Narli di tengah Kahramanmaras, selepas 133 jam gempa berlaku.

Pertama, Nehir Naz Narli yang berusia 12 tahun berjaya diselamatkan, kemudian diikuti kedua ibu bapanya, iaitu hari lima selepas sekeluarga itu dikeluarkan dari timbunan runtuhan di bandar Nurdagi yang dilanda gegaran teruk, di wilayah Gaziantep.

Pasukan penyelamat bersorak dan melaungkan, ‘Allah Maha Besar!’ selepas ahli keluarga terakhir iaitu bapanya diselamatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here