PUTRAJAYA, 15 Feb – Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke The Hague, Belanda mulai Rabu.

Lawatan itu merupakan lawatan kerja sulung ke luar negara sejak pelantikan beliau pada 9 Dis tahun lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Mohamad Alamin akan mewakili Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Segmen Peringkat Menteri di Sidang Kemuncak Responsible Artificial Intelligence (AI) in the Military Domain (REAIM 2023) yang berlangsung di World Forum Convention Centre di The Hague.

Persidangan REAIM 2023, yang dihoskan bersama oleh Belanda dan Korea Selatan menyediakan platform bagi pelbagai pihak berkepentingan termasuk negara seperti Malaysia untuk membincangkan dan mengutarakan pandangan mengenai isu berkaitan dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan.

“Lawatan timbalan menteri ke Belanda akan memberikan peluang yang baik kepada Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama dengan Belanda serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Timbalan menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Belanda, Paul Huijts di luar REAIM 2023.

Pada 2022, Belanda merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan rakan dagangan kedua terbesar dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Jumlah dagangan Malaysia bersama Belanda bernilai RM48.04 bilion (AS10.93 bilion), peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding tahun 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here