KAMPAR, 28 Feb – Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti lokasi tambahan dalam usaha mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi Helmi.

Beliau berkata 71 PEDi telah beroperasi di Perak bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti ekonomi digital, seiring dengan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

“Setakat ini masih ada 19 DUN masih belum ada PEDi, kita usahakan yang itu dahulu untuk lengkapkan semua DUN. Saya dimaklumkan ada kawasan Parlimen yang mempunyai lebih dari satu PEDi dah diwujudkan.

“Saya jangkakan usaha untuk tambahan PEDi di 19 DUN lagi akan diselesaikan tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Kampar (MDK) di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, mengumumkan kerajaan akan memastikan terdapat kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu di setiap DUN sebelum akhir tahun ini, untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here