KUALA LUMPUR, 2 Mac –  Sebanyak 166 projek perumahan lewat siap, 437 projek sakit dan 115 projek terbengkalai telah dikenal pasti sehingga 31 Jan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengunjurkan terdapat 354 projek lewat dan 538 projek sakit sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan.

“Apabila kita tubuhkan taskforce projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai, kita tumpu empat peranan iaitu tracking, resolve, preventive dan forward modelling.

“Semalam, bila saya turun ke satu tapak projek rumah sakit, kita dapati trend 2023 dalam keadaan meningkat dan untuk berlaku telus dan jujur, maka data tracking yang kita buat bukan hanya mengikut kelas sedia ada iaitu lewat, sakit dan terbengkalai tetapi juga taskforce telah menilai dari segi unjuran yang akan berlaku pada tahun ini,” katanya.

Akmal Nasrullah menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu jumlah projek sakit dan terbengkalai sehingga tahun ini.

Beliau berkata seramai 15,024 peminjam mendapat manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) melalui pembiayaan keseluruhan RM1.91 bilion dengan skim itu merupakan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan dan ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi.

Sementara itu bagi membantu pembeli rumah pertama, beliau berkata KPKT telah melaksanakan inisiatif seperti Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

Kementerian turut mengumumkan inisiatif i-Miliki yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama bagi rumah berharga sehingga RM1 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here