BEIJING, 6 Mac (Bernama) — Pembangunan berkualiti menjadi keutamaan dalam usaha membina negara sosialis moden secara menyeluruh, kata Presiden China, Xi Jinping.

Xi berkata usaha harus dilakukan untuk menerapkan sepenuhnya konsep pembangunan baharu dalam semua aspek dan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dari segi kualiti serta kuantiti.

“China mesti memperdalam pembaharuan dan keterbukaan serta mengubah model pembangunan demi membentuk mekanisme mampan menyasar pembangunan berkualiti tinggi.

“Pembangunan berkualiti adalah untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan serta rasa bahagia dan selamat dalam kalangan rakyat,” kata beliau ketika menghadiri sesi perbincangan bersama delegasi provinsi Jiangsu sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) di sini, pada Ahad.

Xi turut menekankan tentang keperluan melipatgandakan usaha untuk mewujudkan kemandirian serta swadaya sains dan teknologi pada peringkat lebih tinggi dengan menyifatkannya sebagai jalan yang perlu dilalui China ke arah pembangunan berkualiti.

“Tatkala mendepani saingan sengit antarabangsa, kami (China) perlu meneroka sektor baharu dan memupuk momentum pertumbuhan baharu.

“Semua ini pada asasnya bergantung kepada inovasi sains dan teknologi,” katanya.

Xi menegaskan, kemandirian dan pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi merupakan kunci untuk membangunkan China sebagai negara sosialis moden seperti yang disasarkan.

Beliau menyeru supaya strategi pembangunan yang dipacu inovasi giat dilaksanakan dan kolaborasi antara industri, universiti dan institut penyelidikan terus diperkasa.

“Kami akan terus menyokong saintis menerajui projek penyelidikan rintis untuk mencapai kejayaan dalam bidang teknologi, di samping mewujudkan kemandirian dalam bidang-bidang utama,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here