ALOR SETAR, 9 Mac – Anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, Fabulous Sunview Sdn Bhd menjalin kerjasama perniagaan strategik dengan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) untuk tempoh dua tahun.

Sunview berkata skop kerjasama termasuk mempromosi dan membangunkan projek fotovolta (PV) solar atas bumbung dan berskala besar yang berpotensi di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), yang melibatkan Sunview sebagai rakan kongsi teknikal untuk menyediakan perkhidmatan seperti pemasangan panel PV solar.

“Ia juga melibatkan sistem pemasangan mekanikal dan elektrik, operasi dan perkhidmatan pengurusan, pengurusan projek dan perhubungan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui solar,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Sunview Group Bhd Charlie Chow Kian Hung berkata kerjasama perniagaan strategik dengan KTPC itu akan menjadi platform untuk membantu lebih banyak syarikat Malaysia dalam mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui dalam KHTP.

“Sehingga 2021, tenaga boleh diperbaharui hanya menyumbang tujuh peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik Malaysia. Dengan adanya pakatan perniagaan strategik ini, ia akan membuka peluang kepada lebih banyak perniagaan di KHTP untuk mengakses tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman bertahun-tahun Sunview dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Selaras dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Diperbaharui Malaysia untuk mencapai 31 peratus bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran kapasiti tenaga negara menjelang 2025, projek itu akan membolehkan KHTP berada di barisan hadapan taman perindustrian tenaga hijau di Malaysia,” katanya.

Chow menegaskan projek itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan langsung asing di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk KHTP.

“Usaha kami untuk membantu KHTP beralih ke taman perindustrian paling hijau di Malaysia bukan sahaja akan membantu dalam penjimatan tenaga tetapi juga membolehkan perniagaan di KHTP mengamalkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terutamanya apabila mereka mengambil bahagian dalam rantaian bekalan/dagangan global yang mengutamakan ESG.

“Sebagai contoh, negara dalam Kesatuan Eropah (EU) dikawal selia di bawah Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) untuk memastikan barangan import dikenakan cukai untuk pelepasan karbon mereka,” katanya.

Chow berkata bahawa perniagaan akan dapat mengeksport ke EU tanpa membeli sijil CBAM dengan amalan ESG.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here