TEHRAN, 11 Mac – Iran dan Arab Saudi semalam membuat langkah mengejutkan apabila bersetuju memulihkan hubungan dan membuka semula misi diplomatik.

Pengumuman hasil rundingan yang dikendalikan China itu dilihat bakal meninggalkan pelbagai kesan di seluruh Asia Barat.

Iran dan Arab Saudi memaklumkan akan membuka semula kedutaan dan misi diplomatik dalam tempoh dua bulan dan melaksanakan perjanjian kerjasama keselamatan dan ekonomi yang ditandatangani lebih 20 tahun lalu.

“Susulan beberapa rundingan, Iran dan Arab Saudi bersetuju untuk menjalin semula hubungan diplomatik dan membuka semula kedutaan dan misi dalam tempoh dua bulan,” kata kenyataan bersama itu, yang diterbitkan dalam media rasmi kedua-dua negara.

Riyadh memutuskan hubungan dengan Tehran selepas penunjuk perasaan Iran menyerang misi diplomatik Arab Saudi pada 2016, susulan negara itu menjalankan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr al-Nimr, serta beberapa pertembungan lain.

Pengenduran ketegangan antara Arab Saudi, negara pengeksport minyak terbesar dunia dan Iran, yang di pulau negara Barat kerana program nuklearnya, berpotensi membentuk semula hubungan di seluruh Asia Barat yang sinonim dengan ketegangan sejak berpuluh tahun lalu.

Iran dan Arab Saudi menyokong pihak bertentangan dalam beberapa zon konflik termasuk Yaman, di mana pemberontak Huthi disokong Tehran, manakala Riyadh mengetuai kerjasama ketenteraan menyokong kerajaan.

Kedua-dua negara itu juga bergelut untuk memegang pengaruh di Syria, Lubnan dan Iraq.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here