ROME, 11 Mac – Tentera laut dan pihak berkuasa marin Itali bergelut menyelamatkan kira-kira 1,300 migran yang berdepan kesukaran di Laut Mediterranean, hampir dua minggu selepas insiden kapal karam yang mengorbankan lebih 70 nyawa.

Beberapa gambar yang diterbitkan pihak berkuasa marin Itali menunjukkan tiga bot membawa muatan berlebihan, yang dikatakan sedang menuju ke arah selatan Calabria.

Operasi menyelamat besar-besaran itu dilaksanakan ketika kerajaan Itali yang berhaluan kanan, mempertahankan kegagalannya mencegah insiden kapal karam bulan lalu daripada berlaku.

Difahamkan bahawa operasi yang dijalankan semalam itu amat kompleks kerana jumlah migran yang amat ramai di atas bot berkenaan.

Tentera laut memaklumkan, satu daripada kapalnya sedang menghampiri mangsa pada kelajuan maksimum untuk membantu pihak berkuasa marin, yang dikatakan sedang berdepan kesukaran.

Pihak berkuasa marin berkata, pasukan penyelamat sedang membantu sebuah bot yang dianggarkan membawa sekitar 500 individu, sekitar 129.64 kilometer dari selatan Crotone.

Pada masa sama, pasukan penyelamat turut membantu dua lagi bot yang berada lebih jauh, berhampiran Roccella Ionica.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here