KUALA LUMPUR, 11 Mac – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan secara automatik di sini, dijangka dibentangkan di Parlimen Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan itu tidak dapat dibentangkan pada persidangan kali ini berikutan terdapat beberapa isu perlu dibincangkan lebih lanjut terutama membabitkan dua kerakyatan.

“Kita harap ia dapat dibentangkan pada persidangan Jun ini. Jawatankuasa Kabinet berhubung isu kewarganegaraan sudah dibentuk dan kini sedang membincangkan isu ini sebagai persediaan untuk persidangan akan datang,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal, di sini.

Beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang dijangka berlangsung 12 hingga 27 Jun atau mesyuarat ketiga yang akan berlangsung dari 9 Oktober hingga 30 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here