DUNGUN, 16 Mac – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 21,000 liter diesel dalam Ops Tiris yang dijalankan di sini, pagi semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam satu serbuan oleh empat pegawai penguat kuasa di sebuah tapak projek pembinaan di Kuala Dungun di sini selepas seminggu menjalankan risikan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat lebih kurang 13,000 liter minyak diesel di dalam tangki skid dan 8,000 liter diesel dalam tangki lori yang terdapat di lokasi kejadian.

“KPDN mendapati berlakunya aktiviti mencurigakan kerana memiliki barangan kawalan iaitu diesel dalam keadaan menimbulkan syak,” katanya.

Saharuddin berkata nilai rampasan keseluruhan termasuk diesel, lori dan tangki skid ialah RM102,580.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala untuk syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here