KUCHING, 22 Mac – Borneo Highlands Resort yang kini menjadi milik kerajaan Sarawak akan dibangunkan menjadi antara destinasi pelancongan utama di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sebelum ini, Borneo Highlands Resorts yang terletak kira-kira 45 minit dari bandar Kuching merupakan destinasi pelancongan tanah tinggi milik swasta.

Menurut Abdul Karim Rahman kerajaan negeri akan memberikan nafas baharu kepada resort tersebut sebelum ia dibuka semula kepada umum, memandangkan ia mempunyai potensi besar kerana menawarkan pemandangan indah hutan hujan tropika.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan merancang sesuatu yang bukan sahaja bermanfaat dari segi sektor pelancongan malah bermanfaatkan kepada komuniti setempat,” katanya.

Menurut beliau, seperti Cameron Highlands dan Fraser’s Hill, destinasi pelancongan itu bukan sahaja berjaya menarik pelancong dari luar dan dalam negara, malah pembangunannya turut memanfaatkan penduduk di kawasan itu,

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata dari Januari hingga Februari tahun ini jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak telah meningkat sebanyak 310.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas kepada 600,037 orang.

“Angka ini meliputi kira-kira 90 peratus daripada kadar sebelum pandemik berbanding tempoh yang sama pada 2019, iaitu selari dengan jangkaan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here