BUKIT MERTAJAM, 27 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati dua daripada tiga beradik yang dipercayai menjadi mangsa dera dalam kejadian di Perlis, bersekolah di sekitar negeri itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata berdasarkan semakan rekod, pihaknya mendapati dua beradik itu hadir ke sekolah, namun beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Kita mendapati mereka ada yang bersekolah dan kes ini masih dalam siasatan merentas pelbagai kementerian. Bagi pihak kami, saya baru dapat makluman mereka memang ada bersekolah di Perlis dan dua daripada tiga beradik itu pergi ke sekolah, itu rekod kita dapat.

“Kita akan pastikan perkembangan ketiga-tiga kanak-kanak itu akan diambil perhatian sepenuhnya, sekarang mereka sudah diletakkan di institusi jagaan dan ia juga sudah menjadi kes (pihak berkuasa).

“Memandangkan (isu) ini sudah jadi kes lain, siasatan lain, jadi kita serahkan kepada kebajikan (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan pihak kementerian lain sebelum kita ambil dan urus di peringkat pendidikan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Yayasan AEON Malaysia Datin Noryahwati Mohamad Noh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara Hardian Hadir dan Ketua Pengarah KPM Datuk Pkharuddin Ghazali.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan status pendidikan tiga beradik berkenaan.

Dua hari lepas, tiga beradik itu ditemukan orang awam dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya masih diikat rantai pada kaki kira-kira pukul 11.55 malam di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di Perlis.

Menurut laporan akhbar, ketiga-tiga remaja itu dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam sebuah rumah oleh ibunya yang tidak bersama mereka.

Difahamkan, hanya remaja yang berusia 16 dan 14 tahun yang bersekolah manakala seorang lagi yang berusia 13 tahun keciciran dalam pelajaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here