SYDNEY, 11 April – Kerajaan Australia mencapai kata sepakat dengan China yang boleh menjurus kepada penarikan balik tarif ke atas barli yang diperkenalkan pada 2020.

Kementerian Luar dan Perdagangan Australia dalam kenyataan bersama pada Selasa berkata perjanjian itu membuka “laluan ke arah penyelesaian pertikaian.”

Australia berkata China bersetuju untuk membuat semakan segera ke atas duti berkenaan dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Berikutan itu, Australia akan menggantung prosidingnya terhadap Beijing di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Jika duti tidak ditarik balik pada akhir tempoh semakan, Australia akan menyambung semula pertikaian itu dengan WTO.”

China mengenakan tarif lebih daripada 80 peratus ke atas barli Australia pada 2020, satu langkah yang menyebabkan eksportnya disekat.

Beijing menuduh pengeluar barli menerima subsidi dan melambakkan bijirin itu ke pasaran China pada harga yang murah. Canberra menafikan dakwaan itu.

Susulan tindakan China mengenakan tarif pada 2020, hubungan antara kedua-dua negara menjadi tegang. Beijing berang apabila Canberra melarang gergasi telekomunikasi China Huawei daripada menubuhkan rangkaian 5G di Australia.

China mengenakan pelbagai tarif perdagangan selain kelewatan dalam pemprosesam kastam ke atas beberapa eksport Australia termasuk wain, daging lembu dan arang batu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here