KUALA LUMPUR, 13 April – Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pada Mei ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau berkata RUU yang dirangka oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu bertujuan untuk memperkasa dan menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat.

“Jemaah Menteri telah meluluskan polisi RUU tersebut dan sekarang menunggu kelulusan daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Selepas Dewan Rakyat, RUU itu kemudiannya akan dibentangkan di Dewan Negara dan perlu diwartakan sebelum boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof berkata penambahbaikan dan pindaan itu akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi. 

Beliau berkata inisiatif itu penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutamanya akibat daripada kesan pandemik COVID-19 agar dapat kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara.

Katanya RUU ini juga akan memperkenalkan peruntukan untuk mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.

“Pindaan ini untuk mengelak syarikat daripada penggulungan, berdaya maju dari segi kewangan dan terus berniaga. 

“Sekiranya tiada mekanisma penyelamat korporat, ini bermakna pemiutang boleh mengambil tindakan undang-undang dan memohon pengisytiharan insolvensi, justeru, kami mahu mengelakkannya,” katanya.

Sementara itu, Fuziah menggesa peniaga mikro untuk tampil dan berdaftar secara sukarela dengan SSM untuk memudahkan proses pengumpulan data dan menerima bantuan subsidi bersasar seperti minyak masak agar pada masa depan dapat dilakukan dengan lancar dan efektif.

“Sekiranya mereka mahu memohon untuk subsidi bersasar seperti peniaga pasar malam, penjaja dan pengusaha warung, sebaik-baiknya mereka berdaftar kerana mereka menggunakan minyak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Pada 2022, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion bagi keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan.

Jumlah terbesar perbelanjaan bagi tujuan subsidi kepenggunaan adalah sebanyak RM66.3 bilion yang merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas asli cecair untuk memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik serta subsidi harga ayam dan telur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here