KARUIZAWA, 18 April – Menteri-menteri luar negara G7 menyeru pihak-pihak yang bertelagah di Sudan supaya segera meletakkan senjata dan kembali ke meja rundingan.

Pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera utama negara itu “mengancam keselamatan orang awam dan menjejaskan usaha untuk memulihkan peralihan demokrasi Sudan,” kata menteri-menteri berkenaan.

“Kami menggesa pihak-pihak terlibat segera menamatkan permusuhan tanpa prasyarat. Kami menyeru semua pelaku menamatkan keganasan, kembali berunding dan mengambil langkah aktif untuk mengurangkan ketegangan dan memastikan keselamatan semua orang awam, termasuk kakitangan diplomatik dan kemanusiaan.”

G7 dianggotai Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis, Itali, Kanada dan Jepun, yang memegang kerusi presiden secara bergilir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sekurang-kurangnya 185 orang terbunuh dan 1,800 lagi cedera setakat ini, dalam perebutan kuasa di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here