ISTANBUL, 12 Mei – Gergasi teknologi AS, Google memperkenalkan alatan  kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, chatbot, peranti mudah alih dan inovasi lain semasa persidangan pembangun I/O anjurannya pada Rabu, lapor Anadolu.

Menurut syarikat itu, ia membangunkan model bahasa tujuan am baharu, dinamakan PaLM 2 yang boleh bertindak balas kepada input manusia dengan menjana teks seperti manusia.

Naib Presiden Google DeepMind Zoubin Ghahraman berkata model bahasa baharu itu, yang sedang digunakan kira-kira 20 produk baharu Google, boleh melakukan penjanaan bahasa semula jadi, penaakulan dalam terjemahan bahasa, selain menjalankan tugas dalam matematik dan pembangunan perisian.

Firma itu turut menaik taraf chatbot kecerdasan buatan Bard yang bersaing dengan OpenAI ChatGPT yang disokong Microsoft.

Bard, yang dipindahkan ke model bahasa PaLM 2 akan disediakan dengan keupayaan baharu. Walaupun chatbot sudah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris, Jepun dan Korea, ia akan diperluas kepada 40 bahasa tidak lama lagi.

Bard juga mampu menyampaikan maklumat kepada pengguna daripada perkhidmatan Google lain, seperti Gmail, Maps, Docs dan Sheets, menurut syarikat itu.

Ciri ‘Immersive View’ pada Google Maps membolehkan pengguna melihat laluan mereka menggunakan visual dijana AI, memberikan mereka maklumat masa sebenar tentang cuaca, trafik dan data lain.

Sementara itu bagi peranti mudah alih, firma teknologi itu memperkenalkan telefon boleh lipat pertamanya, Google Pixel Fold yang disifatkan telefon boleh lipat paling nipis di pasaran dengan skrin 5.8 inci (14.7 sentimeter) yang boleh dilipat hingga paparan 7.6 inci (19.3 sentimeter) dengan tanda harga US$1,799.

Google turut memperkenalkan telefon pintar Android Pixel 7a bajetnya yang berharga US$499, dan Pixel Tablet yang bermula pada US$499.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here