KUALA LUMPUR, 15 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 platform tepat untuk menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan kepada pemulihan ekonomi negara dan tatakelola yang baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata fokus perjuangan Kerajaan Perpaduan dalam pemulihan ekonomi negara dan tatakelola yang baik dapat memberikan manfaat kepada rakyat. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada sekretariat Kerajaan Perpaduan yang telah menganjurkan konvensyen ini dan sokongan daripada setiap lapisan kepimpinan tertinggi parti-parti.

“Terima kasih juga kepada semua yang hadir pada hari ini dan sambutan (diterima) di luar jangkaan malahan tak cukup (tempat) sampai melimpah di luar dewan dan skrin disediakan… saya ucapkan terima kasih kepada semua atas komitmen dari semua peringkat kepimpinan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata konvensyen ini mencipta sejarah dengan menghimpunkan empat gabungan dalam menjayakan satu tekad dan matlamat iaitu memastikan kestabilan politik dapat dicapai untuk kemajuan negara. 

Dengan kestabilan politik dan keutuhan negara buat masa ini, beliau menzahirkan keyakinan Malaysia mampu mengembalikan kegemilangan dan kekuatan negara. 

“Satu perkara yang perlu kita tegaskan dan nyatakan, prinsip Kerajaan Perpaduan adalah keterangkuman dari segi kaum, agama dan wilayah. Ini kerana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mewakili semua kaum, agama dan wilayah di seluruh negara.

“… persaingan bukan dalam kalangan kaum di Malaysia, kita mesti mempunyai hubungan baik dan bekerjasama dalam membangunkan Malaysia (kerana) persaingan hari ini adalah antara Malaysia dan dunia luar bukan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. 

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan model kerjasama Kerajaan Perpaduan ini boleh diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Loke berpendapat model kerjasama ini dapat diteruskan dan dikukuhkan bakal mencorak masa depan baharu untuk landskap politik negara.

“Kalau kerjasama ini dapat diperkukuhkan, semua parti yang bentuk Kerajaan Perpaduan berlapang dada beri komitmen tertinggi untuk kerajaan ini sudah tentu, Kerajaan Perpaduan ini akan kekal selepas PRU-16,”  katanya. 

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata konvensyen ini penting sebagai manifestasi komitmen dan keazaman parti-parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan mahu bergerak ke hadapan dalam mewajahkan Malaysia dengan satu iltizam untuk memastikan agenda rakyat diutamakan.

“Segala kepentingan, perselisihan politik, perbalahan lampau semua sepakat untuk kita titik noktahkan, itu yang paling penting sekali dan kita dapat lihat dalam ucapan, kemesraan yang ada insya-Allah kita di peringkat sekretariat akan pastikan ia terus berjalan di peringkat negeri dan Parlimen,” katanya.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata konvensyen berkenaan adalah bukti bahawa Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah stabil dan kukuh, selain terus memberikan penekanan dalam membela nasib rakyat. 

“…kita perlu memastikan bahawa  Perlembagaan Persekutuan diangkat bersama, pastikan demokrasi terus subur dan dengan kestabilan ini kita dapat memberikan fokus utama dalam membela rakyat,  memastikan bahawa hak anak muda dalam bab pekerjaan, isu pengangkutan awam, perubahan iklim dapat diberikan keutamaan. 

“Saya rasa dalam bab ini marilah kita fokus untuk bergerak ke hadapan daripada kita hanya menoleh ke belakang kita hanya perlu fokus bagaimana kita nak bantu rakyat,” katanya. 

Selain itu, mengulas mengenai penglibatan MUDA dalam persiapan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN akan datang beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan bersama Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat. 

“Saya telah pun berbincang dengan  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita nantikan pertemuan tetapi komitmen saya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk memastikan bahawa ada kestabilan khususnya dalam parlimen,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata konvensyen pada hari ini dilihat penting berikutan konsensus dipupuk dalam kalangan sayap parti Kerajaan Perpaduan menekankan aspek tatakelola dan tadbir urus yang baik.

“Saya agak lega melihat kebanyakan (pemimpin) telah berbicarakan tentang perpaduan dalam bentuk kepelbagaian dan ini adalah khazanah kita… dan saya rasa ini adalah satu keunikan Malaysia yang patut kita raikan bersama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here