KOTA BHARU, 18 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam terutama badan penguatkuasa termasuk di Kelantan, supaya memberi tumpuan kepada ketirisan yang berlaku melibatkan barangan bersubsidi.

Beliau berkata subsidi seharusnya dinikmati oleh golongan misikin, namun banyak yang ‘disakau

“Negara ini makmur tetapi bocornya banyak, percayalah subsidi itu sendiri yang maksudnya untuk orang miskin tetapi disakau, ini banyak (berlaku). Minyak masak disakau, diesel disakau jadi sampai bila nak cukup?

“Sebab itu badan penguatkuasa termasuk di Kelantan kena perhati, laksana dengan baik tak boleh lagilah kita lakukan begitu,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberi contoh subsidi elektrik yang seharusnya dinikmati rakyat biasa kini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Berapa subsidi elektrik? RM30 bilion kalau tak dikawal tahun ini. Jadi kalau subsidi elektrik sebegitu rupa macam mana nak bina sekolah dan universiti baru?.

“Sebab itu baru-baru ini kita batalkan keputusan sebelum ini yang mahu batalkan sebahagian subsidi elektrik dan naikkan kadar elektrik. Saya kata tak boleh kalau dinaikkan kadar elektrik bagi rakyat yang tengah susah ini jadi satu beban.

“Jadi apa pilihan kita ada? Bagi yang terkaya kita naikkan (kadar elektrik) bagi rakyat tidak dinaikkan,” katanya.

Justeru itu, Anwar juga mahu penjawat awam membantu beliau memberi penerangan mengenai dasar-dasar yang telah dilaksanakannya termasuk melibatkan cukai dan subsidi.

“Dasar-dasar ini kadang-kadang sukar difahami kerana tidak dijelaskan dengan sepenuhnya dan penjawat awam sebagai suara dan pelaksana  kerajaan harus faham, saya tidak berhasrat naikkan apa-apa cukai yang menyentuh kedudukan rakyat berpendatan rendah, itu jelas.

“Tetapi saya terpaksa naikkan cukai ke atas orang kaya, baik elektrik, air, pergi ke Mekah atau diesel dan minyak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here