KUALA LUMPUR, 5 Julai – Malaysia telah menjadi peneraju global dalam ketersambungan 5G dengan sokongan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, berdasarkan laporan kajian penanda aras Opensignal yang bertajuk “Menanda Aras Pengalaman 5G Global – Jun 2023”.

Opensignal, sebuah laman web yang memiliki kepakaran dalam pengukuran serta analisis prestasi rangkaian mudah alih berkata ketersediaan rangkaian 5G yang selamat, teguh dan boleh dipercayai di Malaysia turut menjadi daya tarikan utama bagi pelabur asing apabila mempertimbangkan lokasi di rantau ini. 

Data dalam laporan itu menekankan pencapaian cemerlang Malaysia dalam melaksanakan dan menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik kepada pengguna.

Malaysia telah mencapai kedudukan prestasi yang mengagumkan untuk sambungan 5G di peringkat global, hasil daripada prestasi rangkaiannya yang cemerlang, kata laporan yang disiarkan di laman web Opensignal hari ini.

Penyelidikan Opensignal menunjukkan bahawa rangkaian 5G Malaysia memberikan kelajuan dan kebolehpercayaan yang sangat baik, mengatasi prestasi banyak negara perindustrian dengan purata kelajuan muat turun 5G sebanyak 322.7 megabit sesaat (Mbps).

Malaysia berada di kedudukan keempat untuk purata kelajuan muat turun 5G di belakang Korea Selatan (432.5 Mbps), Singapura (376.8 Mbps) dan Brazil (346.4 Mbps).

Secara keseluruhan, terdapat hanya tujuh pasaran yang mana purata kelajuan 5G adalah melebihi 300 Mbps. 

Skor tinggi Malaysia dibantu oleh pendekatan rangkaian borong tunggal 5Gnya, yang telah dapat mempercepatkan pelancaran dan memberikan pengguna pengalaman bertaraf dunia.

Dengan kelajuan yang tinggi, pengguna di negara ini mampu menikmati permainan tanpa lag, muat turun pantas dan penstriman yang lancar.

Teknologi rangkaian 5G baharu terus menawarkan pengguna kelajuan muat turun purata dunia sebenar yang sangat baik yang berkali ganda lebih pantas daripada purata kelajuan muat turun 4G. 

Di Malaysia, 5G adalah 14.4x lebih pantas berbanding 4G yang meletakkan kedudukan negara ini kedua di belakang India (19.2x).

Pengguna di kebanyakan pasaran hanya menikmati kelajuan 5G yang tiga hingga enam kali lebih pantas daripada 4G.

Rangkaian 5G Malaysia juga menawarkan kelajuan muat naik purata yang mengagumkan sebanyak 41.5 Mbps, memastikan perkongsian data serta kandungan yang pantas dan cekap. 

Negara ini menduduki tempat ketiga untuk kelajuan muat naik 5G di belakang Korea Selatan (42.0 Mbps) dan Guatemala (42.0 Mbps). 

Laporan itu selanjutnya menjelaskan bahawa prestasi cemerlang Malaysia dalam ketersambungan 5G mempunyai implikasi yang signifikan terhadap transformasi digital negara.

Kelajuan 5G yang amat baik, kependaman yang lebih rendah termasuk ketersediaan yang lebih luas telah membolehkan perniagaan, industri dan individu membuka peluang baharu. 

Industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, logistik serta hiburan telah menyaksikan kecekapan dan produktiviti yang dipertingkatkan, memacu pertumbuhan ekonomi serta inovasi.

Opensignal juga berkata kejayaan pelancaran 5G Malaysia boleh dikaitkan dengan kerjasama yang kukuh antara kerajaan, pembekal perkhidmatan mudah alih dan pembekal teknologi rangkaian. 

Kerajaan secara proaktif telah memupuk persekitaran yang membolehkan penggunaan 5G dengan memperkemas peraturan, memperuntukkan spektrum dan menggalakkan perkongsian.

Pendekatan kerjasama ini telah memastikan pelaksanaan teknologi 5G yang pantas dan lancar di seluruh negara.

Prestasi luar biasa Malaysia dalam ketersambungan 5G, seperti yang digariskan dalam laporan penanda aras Opensignal, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang tersebut. 

Sebagai rangkaian yang boleh dipercayai dan pantas, dengan kependaman yang rendah serta ketersediaan yang meluas, rangkaian 5G sedang menerajui transformasi digital dan memulakan era baharu dalam kemajuan teknologi.

Komitmen negara untuk membina infrastruktur 5G yang mantap dan pendekatan kolaboratifnya antara sektor awam dan swasta memberikan inspirasi untuk diikuti oleh negara lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here