KUALA LUMPUR, 14 Julai – Permohonan bagi geran pecutan digital Malaysia atau Malaysia Digital Acceleration Grant (MDAG) 2023 kini dibuka bermula hari ini hingga 28 Julai ini.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam kenyataan hari ini, geran itu bertujuan memacu pertumbuhan syarikat digital dan teknologi berstatus Malaysia Digital (MD) di peringkat pengkomersialan.

“Geran ini selaras dengan inisiatif strategik nasional MD yang memberi tumpuan untuk memacu pelaburan dan mewujudkan pekerjaan baharu bernilai tinggi bagi mencapai aspirasi ekonomi digital negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“MDAG 2023 akan menyediakan pembiayaan yang diperlukan oleh pemain industri untuk peningkatan operasi melalui penggunaan teknologi berterusan selain menyemai inovasi ekosistem digital negara dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat selaras dengan konsep Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.

Menurut MDEC geran berpandukan Strategi Pelaburan Malaysia Digital itu bakal mewujudkan lebih banyak syarikat teknologi di peringkat serantau bagi tempoh tiga tahun.

“Inisiatif ini juga selaras dengan strategi dan rangka kerja MD untuk memangkinkan pertumbuhan sektor tumpuan menerusi platform teknologi yang telah dikenal pasti,” menurut kenyataan itu dan sejak diperkenalkan pada 2022, sebanyak 35 buah syarikat telah menerima MDAG.

Syarikat yang ingin memohon geran tersebut perlu memiliki status MD dan pemohon yang berjaya akan diumumkan dalam tempoh dua bulan dari tarikh tutup permohonan. Maklumat lanjut di https://mdec.my/grants/mdag.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here