PUTRAJAYA, 14 Julai – Tarif baharu bagi Tarif Elektrik Hijau (GET) ditetapkan pada kadar 21.8 sen setiap kilowatt per jam (kWj) bermula 1 Ogos ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tarif baharu itu adalah berdasarkan penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau.

Beliau berkata kadar premium GET sedia iaitu 3.7 sen/kWj dikekalkan bagi tempoh 1 hingga 31 Julai ini.

“Pelanggan sedia ada diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mengesahkan semula langganan,” katanya.

Nik Nazmi berkata pelanggan GET tidak dikenakan caj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) kerana penjanaan daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) tidak melibatkan penggunaan bahan api fosil.

Beliau berkata had kuota 30 peratus langganan GET sebelum ini dimansuhkan dan pelanggan kini boleh melanggan sehingga dan tidak melebihi 100 peratus keperluan tenaga.

Bagi tahun ini, katanya penawaran langganan GET yang dibuka Februari lepas dengan jumlah kuota 6,600 GigaWatt per jam (GWj) pada kadar tarif premium 3.7 sen/kWj, telah habis dilanggan oleh 2,361 pengguna domestik, komersial dan industri.

 “Hasil kutipan daripada pelaksanaan GET akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara,” katanya.

Program GET diperkenalkan pada 1 Jan 2022 bagi membolehkan pengguna yang mempunyai komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mengurangkan pembebasan gas rumah hijau menerusi langganan bekalan elektrik dari sumber TBB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here