PUTRAJAYA, 9 Ogos – Jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada 105,961 kelahiran pada suku tahun kedua tahun ini daripada 93,799 kelahiran pada suku tahun kedua 2022, menurut Laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,214 kelahiran bayi perempuan pada suku tahun kedua tahun ini.

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,477 kelahiran, manakala Labuan terendah dengan 357 kelahiran,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 50,239 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2023, peningkatan 0.7 peratus berbanding suku tahun kedua 2022 dengan 49,893 kematian.

Beliau berkata Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 7,765 kematian manakala Putrajaya mencatatkan bilangan terendah dengan 73 kematian.

“Kematian disebabkan COVID-19 menurun 74.4 peratus iaitu 169 kematian pada suku tahun kedua 2023 berbanding 660 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2022,” katanya.

Mohd Uzir berkata penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2023 dianggarkan sebanyak 33.4 juta, meningkat 2.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2022 sebanyak 32.7 juta.

Beliau berkata penduduk lelaki meningkat daripada 17 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun kedua 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 15.9 juta bagi tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here