PUTRAJAYA, 17 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyalurkan hampir RM4 juta untuk geran penyelidikan di bawah Program Kolaborasi Penyelidikan Media Berangkai (NMRCP) dan Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG) dari 2008 hingga kini, melibatkan lebih 50 projek penyelidikan.

Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata badan itu telah melaksanakan panggilan kertas cadangan Pusingan Satu DSRG 2023 yang berakhir pada 31 Mac serta memilih 10 projek kajian daripada 125 kertas cadangan yang diterima untuk pemberian geran berkenaan.

Beliau berkata sebahagian penyelidikan untuk Pusingan Satu DSRG 2023 meliputi topik tahap pengamalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan pemain industri komunikasi dan multimedia; perspektif dan pengalaman pengguna bagi industri pos dan kurier; dan pengamalan penjagaan kesihatan digital dalam kalangan warga emas Malaysia.

“Saya yakin penerima yang dipilih akan menghasilkan penemuan berharga dalam projek penyelidikan masing-masing untuk menambah baik dan mencipta pencapaian baharu dalam melahirkan masyarakat digital,” katanya semasa berucap pada Simposium Penyelidikan MCMC 2023 di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Akademi MCMC Khaneeza Khalid.

DSRG merupakan geran MCMC yang menyokong projek kajian memfokuskan pada Kewarganeraan Digital dan Kesejahteraan Siber; dan Keterangkuman Digital yakni setiap projek terpilih diberi geran hingga RM10,000.

Mohamad Salim berkata panggilan untuk kertas cadangan bagi Pusingan Dua DSRG telah bermula pada 1 hingga 31 Ogos ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here