PONTIAN, 18 Ogos – Projek menaik taraf Hospital Pontian, di sini yang melibatkan kos RM150 juta akan dilaksanakan tahun hadapan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah setiap tahun.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek menaik taraf kemudahan itu membabitkan dua blok bangunan baharu empat tingkat selain pertambahan 150 katil.

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan belanjawan tahun ini.

“Sebanyak RM500,000 telah disalurkan oleh kerajaan pusat untuk kita memulakan projek menaik taraf hospital yang telah berusia lebih 100 tahun ini.

Ini adalah sebagai perancangan awal dan insya-Allah pada tahun hadapan, kita akan mula melaksanakan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Johor di Dataran Dewan Jubli Intan Pontian, di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Sementara itu, Onn Hafiz juga berkata kerajaan negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan akan turut menaik taraf Pasar Awam Pontian yang disifatkan kini dalam keadaan uzur.

“Kita tengok keadaannya daif dan pasar tersebut sudah lama, Kerajaan Persekutuan dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) akan gembleng tenaga untuk membina pasar awam baharu, di mana lokasinya berhampiran Pasar Borong Pontian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here