KUANTAN, 11 Sept – Kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM14.767 juta dalam pelaksanaan pelbagai bantuan dan inisiatif khusus untuk pendidikan setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Bantuan itu disalurkan menerusi “jenama” Bantuan Prihatin Pahang, yang antara lain meliputi golongan penerima daripada murid tahun satu, pelajar tahfiz, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta mereka yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT). 

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang juga menyediakan bantuan pendidikan termasuk biasiswa, dengan RM1.4 bilion telah dibelanjakan sejak penubuhannya pada 1982. 

“Pendidikan merupakan bidang yang amat dititikberatkan kerajaan negeri bagi melahirkan anak Pahang yang berilmu dan berkeyakinan tinggi. Sudah pasti pelbagai bentuk pembangunan, bantuan serta inisiatif dirancang dan dilaksanakan supaya anak Pahang tidak keciciran dalam persekolahan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap melancarkan buku “Budi Pujangga” dan Kelab Pendidikan Muzium Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Girl School di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang sebelum ini ialah Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang dan Pengarah perbadanan itu Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal. 

Mengulas tentang penubuhan Kelab Pendidikan Muzium Negeri Pahang yang difahamkan pertama seumpamanya, Wan Rosdy berkata kelab itu diharapkan dapat meningkatkan penghayatan sejarah serta mengukuhkan jati diri generasi pelapis negara. 

“Pelajar perlu didedahkan dan disemai minat dalam sejarah supaya mereka tidak lupa dengan warisan sejarah negara dan negeri. Jika perkara ini dapat dihayati, saya yakin nilai jati diri mereka dapat ditingkatkan,” katanya. 

Buku “Budi Pujangga: Apabila Guru dan Murid Bertinta” hasil kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Pahang memuatkan gabungan puisi Melayu seperti pantun, sajak, syair, seloka dan gurindam yang memaparkan warisan serta budaya hidup masyarakat negeri ini. 

Sentuhan dan manifestasi kreatif guru dan murid daripada peringkat rendah, menengah serta kolej di Pahang itu juga menyentuh keistimewaan dan keindahan alam, lokasi bersejarah dan destinasi menarik di bumi Tok Gajah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here