MELAKA, 12 Sept –  Pembangunan projek mega Melaka Gateway kembali diteruskan dengan nilai RM43 bilion seperti yang diumumkan pemajunya, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD).

Pengerusi Eksekutif KAJD Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman berkata projek tersebut dihidupkan semula mengikut garis panduan dan peraturan yang diluluskan dengan sokongan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Melaka.

“Kebangkitan semula Melaka Gateway mendapat perhatian daripada penyertaan pemegang saham dan pelabur baharu serta pembentukan pasukan kepimpinan yang dinamik. 

“Kempen penjenamaan semula akan dilancarkan selaras dengan inisiatif untuk mengubah Melaka menjadi destinasi pelancongan yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepentingan sejarahnya sebagai pelabuhan perdagangan yang terkenal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur Melaka Gateway diteruskan dengan pembinaan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) sebagai satu-satunya jeti persiaran antarabangsa yang mempunyai hak operasi eksklusif daripada kerajaan Melaka.

Katanya MICT di bawah pengurusan KAJD juga bakal menjadi satu-satunya pintu masuk untuk kapal persiaran antarabangsa dan feri ke Melaka dan setelah siap kelak, ia mampu menampung kedatangan kira-kira 3.5 juta pelancong ke Melaka Gateway setiap tahun. 

“Kedatangan kapal-kapal persiaran ini akan memberi impak besar terhadap pembangunan Melaka dan bakal meningkatkan aktiviti pelancongan seterusnya menjadikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di dunia sekali gus memanfaatkan ekonomi tempatan.

“Melalui usaha kolektif, kami berjaya memupuk semula keyakinan dalam kalangan pemegang saham dan kami berharap dapat menjalin hubungan rapat dengan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pembangunan Strategik KAJD Datuk Mircle Yap berkata Melaka Gateway merupakan ekosistem pembangunan pelbagai sektor merangkumi sektor pelancongan, hospitaliti, gaya hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan komersial. 

“Projek ini turut menggabungkan inisiatif hijau untuk mengembangkan potensi ekonomi dengan fokus baharu terhadap kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).  

“Kami kini bersedia untuk membentuk masa depan yang mampan dan maju dengan menjangkakan 45,000 pekerjaan baharu akan diwujudkan menjelang 2032,” katanya.

Katanya projek itu dilihat mampu menghasilkan pendapatan sekitar RM3.2 bilion setahun kepada negara sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan dan mengukuhkan kedudukan Melaka Gateway sebagai pemain utama dalam sektor pelancongan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here