IPOH, 17 Sept – Kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi menambah bilangan penerbangan terus dari negara ASEAN ke bandar raya ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia antara usaha bagi menarik kedatangan pelancong asing ke Perak, namun bergantung kepada kelulusan Kementerian Pengangkutan.

“Setakat ini, laluan (penerbangan) hanya membabitkan dari Singapura ke Ipoh dan Senai (Johor) ke Ipoh. Jadi, sempena Tahun Melawat Perak ini kita (Kerajaan Perak) telah berunding dengan beberapa syarikat penerbangan sebab permintaan (pelancong) itu sudah tentu bertambah.

“Kaedah ini membolehkan pelancong datang melalui penerbangan secara terus ke Ipoh tanpa perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2023 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan Perak menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa ke negeri ini dengan jangkaan nilai penjanaan ekonomi berasaskan sektor pelancongan mencecah RM10 bilion.

Sementara itu, Saarani berkata sebanyak RM7 juta telah disalurkan kerajaan negeri kepada Tourism Perak bagi membantu pengusaha sektor pelancongan di seluruh negeri untuk menaik taraf serta membaik pulih kemudahan yang bakal ditawarkan kepada pelancong.

Beliau berkata peruntukan tersebut turut digunakan bagi proses membaik pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak yang pernah menjadi antara produk pelancongan utama negeri sejak dibina pada 1990.

“Kita telah berikan peruntukan tersebut sejak Jun lalu dan kita harapkan peruntukan yang telah disalurkan itu digunakan sebaiknya oleh pengusaha untuk memastikan kemudahan yang disediakan akan berada pada tahap terbaik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here