KUALA LUMPUR, 13 Okt – China akan bekerjasama rapat dengan Malaysia ke arah membina ‘komuniti berkongsi masa depan’ berdasarkan persetujuan yang dicapai antara Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Beijing pada Mac lalu.

Kuasa Usaha Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang, berkata visi China untuk membina komuniti global yang berkongsi masa depan turut selari dengan konsep Malaysia Madani yang dicadangkan oleh Anwar.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin telah mencapai kata sepakat penting dalam membina komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan.

“Ini adalah peristiwa penting dalam sejarah hubungan China-Malaysia,” katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai kertas putih ‘A global community of shared future: China’s proposals and actions,’ di sini, pada Khamis.

Berpandukan konsensus penting antara kedua-dua pemimpin, Zheng berkata sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik China dan Malaysia tahun depan bakal menjadi peluang untuk mengukuhkan persefahaman politik, memperdalam kerjasama saling menguntungkan, mempromosikan kerjasama Jalur dan Laluan (BRI) dan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat.

Beliau berkata kedua-dua negara turut akan bekerjasama untuk mencapai lebih banyak kemajuan ke arah membina komuniti berkongsi masa depan.

Zheng turut menekankan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam mempromosikan inovasi saintifik dan teknologi.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara lain termasuk Malaysia untuk mewujudkan persekitaran yang terbuka, adil, saksama dan tidak diskriminasi untuk kemajuan saintifik dan teknologi, untuk mempromosikan hasil inovasi saintifik dan teknologi untuk memberi manfaat kepada seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata China juga aktif dalam rangkaian inovasi global, serta menjalinkan kerjasama saintifik dan teknologi dengan lebih 160 negara.

Mengenai kertas putih itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memperkenalkan konsep berkenaan secara komprehensif, meningkatkan pemahaman dan mengembangkan konsensus dalam masyarakat antarabangsa, serta memperkukuh usaha global untuk merealisasikan wawasan itu.

Zheng menjelaskan bahawa Inisiatif BR), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Tamadun Global (GCI) adalah platform kerjasama yang disediakan oleh China untuk merealisasikan konsep itu.

Di peringkat serantau, beliau berkata China telah mencapai kemajuan dalam mewujudkan komuniti masa depan yang dikongsi bersama ASEAN, Asia Tengah, Afrika, Arab, Amerika Latin dan Caribbean, serta negara-negara Pulau Pasifik.

Di peringkat dua hala, China dan beberapa negara termasuk Malaysia, Laos, Kemboja, Myanmar, Indonesia, Thailand, Pakistan, Mongolia, Cuba dan Afrika Selatan telah mengeluarkan pelan tindakan, serta kenyataan dan persetujuan bersama ke arah membina komuniti dua hala yang berkongsi masa depan, kata Zheng.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here