KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kadar inflasi diunjur mencatat antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus pada 2024, berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan (MoF) yang disiarkan hari ini.

Unjuran tersebut sebahagiannya disebabkan oleh peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

Selain itu prospek inflasi berhadapan risiko turn naik kadar pertukaran mata wang selain faktor berkaitan penawaran seperti harga komoditi global, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.

Untuk keseluruhan tahun, inflasi dianggarkan antara 2.5 peratus hingga tiga peratus.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.8 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023 disumbangkan oleh trend harga komoditi global yang menyederhana, pengurangan gangguan berkaitan bekalan, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih sedia ada serta kesan tertangguh berikutan normalisasi kadar dasar semalaman (OPR).

“Inflasi dijangka kekal sederhana bagi tempoh empat bulan terakhir manakala inflasi teras kekal tinggi dalam tempoh yang sama berbanding purata jangka masa panjang,” katanya.

Di samping itu, menurut MoF, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dijangka meningkat menjelang 2024 antara 0.1 peratus hingga 2.1 peratus sejajar dengan kesan asas yang berkurangan dan aktiviti pengeluaran yang lebih baik.

MoF berkata IHPR berdasarkan pengeluaran tempatan merosot sebanyak 2.4 peratus pada lapan bulan pertama 2023 disebabkan oleh harga komoditi global yang menyederhana terutamanya minyak mentah.

“Berdasarkan sektor tertentu, penguncupan dalam IHPR sebahagian besarnya didorong oleh penurunan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (19.4 peratus) serta perlombongan (8.4 peratus).

“Secara keseluruhan, IHPR dijangka menyusut antara -2.5 peratus hingga -0.5 peratus pada 2023 disebabkan oleh kos input global yang lebih rendah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here