BEIJING, 18 Okt — Presiden Xi Jinping berkata China akan memberi penekanan kepada lapan aspek utama untuk menggalakkan pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi. 

Berucap pada majlis perasmian Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga yang diadakan di sini, pada Rabu, Xi berkata antara lapan aspek itu, termasuk China akan mempercepatkan perkembangan perkhidmatan rel kargo China-Eropah.

Selain itu, beliau berkata China akan mengambil bahagian dalam pembinaan koridor pengangkutan antarabangsa rentas Laut Caspian bagi membina rangkaian kesalinghubungan BRI tiga dimensi.

“China akan memulakan pelaksanaan projek pilot tentang kerjasama “E-dagang Jalan Sutera” dan menandatangani perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian perlindungan pelaburan dengan lebih banyak negara selain memansuhkan semua sekatan ke atas akses pelaburan asing dalam sektor perkilangan. 

“Bank Pembangunan China dan Bank Eksport-Import China masing-masing akan menyediakan perkhidmatan pembiayaan sebanyak RMB350 bilion (RM227 bilion) dan dana Jalan Sutera tambahan sebanyak RMB80 bilion (RM51.9 bilion) untuk menyokong projek pembinaan bersama BRI yang berorientasikan pasaran dan komersial,” kata Xi.

Di samping itu, China juga akan terus menggalakkan pembangunan hijau,  inovasi dalam bidang sains dan teknologi, pertukaran dalam kalangan rakyat, tadbir urus yang bersih dan penambahbaikan mekanisme kerjasama antarabangsa dalam kerangka BRI.

Xi berkata sejak sedekad lalu semua negara yang terbabit dalam pelaksanaan BRI mengekalkan aspirasi dan berganding bahu mencapai hasil memberangsangkan dalam kerjasama antarabangsa.

“Kerjasama BRI dijalankan bukan sahaja di benua Eurasia,  tetapi juga di benua Afrika dan Amerika Latin.

“Lebih 150 negara dan 30 pertubuhan antarabangsa telah menandatangani dokumen kerjasama BRI yang menekankan pembangunan bersama, mengadakan BRF sebanyak tiga edisi, selain mewujudkan platform kerjasama pelbagai hala dalam lebih 20 bidang profesional.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, semua negara terbabit komited untuk membina koridor ekonomi dan rangkaian kesalinghubungan global yang melibatkan darat, laut, udara dan ruang siber bagi mendorong peredaran produk, modal, teknologi dan keanggotaan dari pelbagai negara,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here