KUALA LUMPUR, 24 Okt – Kerajaan komited untuk mengasingkan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman bagi memastikan integriti institusi perundangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada majlis makan tengah hari bersama presiden persatuan undang-undang di bangunan Parlimen hari ini, Azalina berkata kerajaan memerlukan ketiga-tiga badan berkenaan untuk berpegang teguh kepada fungsi dan peranannya, memastikan undang-undang bukan sahaja wujud di atas kertas, tetapi juga ditegakkan, dihormati dan ditafsirkan secara adil di dunia sebenar.

“Kita memerlukan demokrasi untuk menggubal undang-undang yang baik, kita perlukan penguatkuasaan yang bagus untuk melaksanakan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas untuk mentafsir undang-undang secara bebas dan wajar.

“Kita memerlukan badan-badan ini untuk menegakkan undang-undang dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sangat peka dan beliau sendiri mahu melihat pemisahan kuasa ketiga-tiga badan itu dan tiada campur tangan, yang sebenarnya konsisten dengan visi beliau,” katanya.

Beliau berkata undang-undang perlu digunakan untuk memberi khidmat kepada rakyat dalam pelbagai cara termasuk mengekalkan keamanan, memberikan keadilan dan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Azalina berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam undang-undang dan reformasi institusi, beliau akan terus mendengar suara orang muda dan penuntut undang-undang, dan menyediakan paltform untuk mereka bersuara.

“Sebenarnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang akan menganjurkan Pertandingan Mahkamah Moot Piala Perdana Menteri untuk pelajar undang-undang di Malaysia yang akan berlangsung tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here