IPOH, 29 Okt – Cadangan pembinaan lapangan terbang baharu perlu dibawa ke perbincangan dan mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) terlebih dahulu sebelum sebarang proses merealisasikannya dimulakan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebelum ini kerajaan Perak memang ada cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, tetapi ia belum dapat dilaksanakan.

“Pembinaan lapangan terbang baharu perlu proses yang sangat panjang, pertama mesti pergi ke Majlis Perancang Fizikal Negara, kalau tak dapat kelulusan, tak boleh mulakan proses itu,” katanya pada sidang media Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-22 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP negeri Nga Kor Ming.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

Loke berkata ketika ini lapangan terbang sedia ada di negara ini perlu ditambah baik dan cadangan untuk menaik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh juga berada dalam radar kementerian untuk direalisasikan menggunakan kaedah perkongsian awam swasta (PPP). 

Menurutnya dengan keadaan kekangan kewangan di peringkat Persekutuan, PPP merupakan kaedah baharu yang boleh dilaksanakan untuk proses naik taraf tersebut.

“Jadi (lapangan terbang) di Ipoh adalah satu daripada yang saya telah dapat cadangan dan surat yang menyatakan mereka (pihak swasta) berminat melabur ke dalamnya,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Loke berkata beliau telah menemui pihak syarikat penerbangan dari Singapura supaya menambah kekerapan penerbangan ke Ipoh pada musim perayaan berikutan pemeriksaan beliau mendapati tiket penerbangan ke destinasi itu amat laris terutamanya pada hujung minggu.

“Ramai orang Ipoh antaranya dari Simpang Pulai dan Bercham bekerja di Singapura dan pada musim perayaan selalunya penerbangan tidak mencukupi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here