PUTRAJAYA, 14 Nov – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mendengar semakan hukuman mati tujuh banduan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 [Akta 847] dan semakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat melibatkan empat individu.

Ini berikutan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 [Akta 847] pada 12 Sept lepas (2023).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan hari ini sebagai bersejarah bagi negara kerana permohonan bagi semakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) telah didengar di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata kejayaan penyemakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat.

“Prinsip keadilan restoratif dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata tujuh banduan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 melalui semakan hukuman mati di bawah Akta 847 itu hari ini.

Secara keseluruhannya, Azalina berkata terdapat 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang layak mengemukakan permohonan mereka. 

“Mengikut peruntukan Akta 847 kesemua permohonan perlu dikemukakan kepada mahkamah dalam tempoh masa 90 hari dari tarikh kuat kuasa akta ini,” katanya.

Setakat 9 Nov lepas, Azalina berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah menerima permohonan semakan sebanyak 978 kes iaitu 861 permohonan bagi semakan hukuman mati dan 117 permohonan semakan pemenjaraan sepanjang hayat.

Beliau berkata pelaksanaan bagi pengendalian prosiding mahkamah itu mengambil kira pelbagai faktor mengikut keutamaan termasuklah umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan lain yang mendesak.

Azalina berkata Kerajaan Perpaduan ingin menegaskan bahawa pengenaan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di Malaysia.

“Namun, pengenaan hukuman mati bukan lagi mandatori seperti sebelum ini dan pindaan undang-undang telah pun memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here